PUTRAJAYA – Menyahut saranan YB Senator Datuk Dr Zulkifil Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Masjid Putra hari ini telah mengagihkan sumbangan bagi meringankan beban warga masyarakat di dua lokasi berasingan.
Hospital Putrajaya menjadi pilihan lokasi pertama, di mana sebanyak 60 unit hamper telah diagihkan kepada pesakit-pesakit yang berada di Wad 2A dan 2B Hospital Putrajaya.
Sumbangan telah disampaikan oleh YBhg. Haji Ikmal Zaidi bin Hashim, Imam Besar Masjid Putra kepada YBhg. Puan Hajah Noorhayati binti Haji Amin, Timbalan Pengarah Pengurusan mewakili Hospital Putrajaya dalam satu majlis ringkas pagi ini.
Sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan, Masjid Putra juga menyediakan 80 bungkus juadah berbuka puasa yang akan diedarkan di sebelah petang di Hospital Putrajaya.
Lokasi kedua yang menjadi pilihan ialah Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia. Pusat ini menempatkan hampir 150 orang penghuni yang terdiri daripada warga emas dan orang kurang upaya.
Sumbangan berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak dan gula telah disampaikan oleh YBhg. Imam Besar Masjid Putra kepada Haji Mohd Azmi bin Mohd Zain, Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia.
YBhg Haji Ikmal Zaidi di dalam ucapan ringkasnya, berharap agar program sebegini dapat diteruskan sebagai usaha dan rasa kebersamaan Masjid Putra terhadap kesusahan yang dialami oleh masyarakat awam.
“Sumbangan kecil ini sebagai tanda kebersamaan pihak masjid dan di harap sedikit sebanyak dapat meringankan beban pihak pengurusan serta seluruh penghuni pusat jagaan” tambah beliau lagi.
Turut hadir Haji Abdul Karim bin Zakaria, Penolong Pengarah Kanan Unit Khidmat Sosial bersama pegawai dan kakitangan Masjid Putra.
© UKS Masjid Putra 2020