WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA - IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Masjid Putra, Putrajaya
BENGKEL PENYELARASAN PROGRAM PENGAJIAN ISLAM SEPANJANG HAYAT MASJID-MASJID UTAMA JAKIM
 
Negeri Sembilan, 15 Julai - Masjid Negara dengan kerjasama Bahagian Dakwah dan Bahagian Dasar Kemajuan Islam JAKIM telah mengadakan Bengkel Penyelarasan Program Pengajian Islam Sepanjang Hayat Masjid-Masjid Utama JAKIM 2019 bertempat di Dewan Mesyuarat 4, Klana Beach Resort (Baitul Hilal), Port Dickson, Negeri Sembilan. Bengkel ini bermula pada 09,10 sehingga 11 Julai 2019 (Selasa hingga Khamis) jam 8.30 pagi – 10.30 malam.
 
Objektif utama bengkel ini diadakan:
  • Mewujudkan sistem pengajian yang bersepadu dan bermutu selari dengan keperluan masyarakat;
  • Memperkasakan program pengajian sepanjang hayat masjid ke arah melahirkan masyarakat yang berilmu dan beramal;
  • Meluaskan peranan pengimarahan masjid dengan menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu.
 
Hasil daripada bengkel tersebut, satu garis panduan telah dibangunkan untuk tujuan menyelaras semua aktiviti pengajian Islam antara masjid-masjid utama berkaitan dengan syarat kelayakan (kemasukan), struktur program, yuran pengajian, kurikulum, sukatan pelajaran, sistem pengajian, peperiksaan, sistem pengambilan pelajar, hal ehwal guru dan penyampaian sijil.
 
Peserta program ini terdiri daripada fasilitator dan peserta dari JAKIM dan 3 buah Masjid Utama JAKIM, iaitu Masjid Negara (MN), Masjid Putra (MP) dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) selain jemputan dari panel luar yang dilantik mengikut kepakaran dalam bidang al-Quran.
 
Turut hadir pada program ini ialah Imam Besar Masjid Negara; YBhg. Tan Sri Dato' Seri Dr. Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad, Imam Besar MTMZA; YBrs. Ustaz Nor Azamir bin Haji Alias dan Pemangku Imam Besar Masjid Putra; YBrs. Ustaz Luqman bin Mohd Hosni.
 
Majlis Perasmian Penutup bengkel ini telah disempurnakan oleh al-Fadhil Ustaz Aziz bin Hj. Mohamad, Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah JAKIM dan bacaan doa oleh al-fadhil Ustaz Mohamad Syakir bin Azmi.
 
Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) Penyediaan Modul, LDK Pemurnian Modul dan LDK Sesi Soal Jawab Modul dan LDK Pembentangan Modul. Peserta juga diberi peluang mencerap bulan melalui teleskop yang berada di Balai Cerap Baitul Hilal tersebut.