PERUTUSAN IMAM BESAR SEMPENA TAHUN BARU HIJRAH 1431H
Saya mengambil kesempatan ini mengajak diri saya dan semua saudara saudari agar marilah kita bersyukur atas nikmat Allah sehingga kita dapat menghabiskan tahun hijrah 1430 ini dengan selamat. Selamat menyambut tahun baru hijrah 1431 kepada semua kaum muslimin dan jemaah sekalian. Tahun Hijrah melambangkan suatu perjuangan yang membawa seribu erti dalam kehidupan. Hijrah bukan sahaja bererti perpindahan dari sudut sejarah semata mata iaitu perpindahan Baginda Rasul S.A.W bersama sahabat kira kira 1430 tahun yang lalu dalam bentuk fizikal semata mata tetapi hijrah membawa sesuatu konsep yang sangat luas pengertiannya. Sama sama lah kita muhasabah diri bahawa dengan kedatangan tahun baru hijrah bererti umur kita meningkat setahun lagi. Sedar atau tidak ianya mengurangi usia untuk kita menambahkan bekalan ke akhirat.
Rasulullah S.A.W berhijrah meninggalkan tanah tempat tumpah darah Baginda Makkah al Mukarramah menuju ke Madinah al Munawwarah. Menurut sejarah Nabi Muhammad S.A.W memulakan perjalanan dalam hijrah baginda pada malam khamis 16 Jun 622 M dan sampai di Madinah sebelum waktu zohor hari isnin 28 Jun 622 M. Hijrah ini bukanlah berlaku secara terburu buru atau secara tidak berperancangan. Peristiwa ini berlaku adalah dengan beberapa faktor dan mempunyai strategi strategi dakwah dan kepimpinan Baginda. Sebelum perisitwa penting ini berlaku beberapa ujian telah dihadapi oleh Baginda Rasulullah. Rasulullah S.A.W telah kehilangan isterinya Khadijah yang kembali ke rahmatullah. Isterinya yang merupakan seorang teman dan pejuang yang sentiasa berdiri teguh di belakang Baginda dan sentiasa memberi sokongan pada kepada Baginda dalam misinya menyebarkan ajaran Islam. Dalam jangka masa yang sama juga bapa saudara Baginda Abu Talib meninggal dunia. Bapa saudara baginda ini juga merupakan orang yang kuat mempertahankan Baginda dan sentiasa melindunginya dari permusuhan kaum kafir Quraisy. Ini kerana Abu Talib adalah seorang yang disegani oelh kaum Quraisy. Bagi mengatasi bertambahnya keganasan dan penyiksaan fizikal dan mental yang dilancarkan oleh kaum kafir Quraisy terhadap kaum muslimin yang masih lemah pada ketika itu malah gangguan fizikal dan mental itu sering juga dilancarkan terhadap diri baginda sendiri. Dengan penghijrahan tersebut para sahabat tidak rasa tertekan dengan usaha musuh mengenakan sekatan ekonomi yang berterusan sehingga kaum muslimin merasa terdesak dan sengsara kerana kekurangan bekalan makanan dan minuman. Dengan itu ternyata bahawa Hijrah bukanlah merupakan satu tindakan baginda Rasulullah S.A.W secara terburu buru untuk melarikan diri daripada tanggungjawab baginda bagi menyebarkan ajaran Allh S.W.T di tanah tempat tumpah darahnya seperti yang pernah ditohmahkan oleh sesetengah orientalis barat. Malah tindakan baginda adalah satu jihad yang penuh strategik dan hikmah dalam menyusun agenda jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha menyebarkan ajaran islam ke seluruh alam. Hri ini kita juga berhadapan dengan ujian yang tidak kurang berat juga. Kita juga perlu hadapi dengan cara berhemah apabila melihat kepada beberapa cabaran umat islam masa kini. Dengan pelbagai ancaman kita lihat akidah Islam semakin tipis syariat Islam diperkotak katikkan dan akidah Islam luntur pada kehidupan seharian. Kita bimbang Islam akan hanya tinggal pada nama sahaja. Kekhuatiran ini akan mampu dilenyapkan apabila setiap orang mampu kembali kepada ajaran Islam sebenar melalui penghayatan Hijrah yang menjadi mercu tanda kebangkitan Islam suatu masa yang lalu. Marilah dengan penutupan tirai tahun hijrah 1430H ini dan menjelangnya awal tahun 1431H kita panjatkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T serta memohon keampunan sekiranya terdapat dosa dan noda seterusnya kita mohon keredhaannya. Marilah juga kita tanamkan azam untuk kita hayati semangat penghijrahan ini di tahun 1431H dan kita memohon agar kita diberikan kesejahteraan keselamtan serta kejayaan dengan cemerlang. TUAN HAJI ABD MANAF BIN HAJI MAT IMAM BESAR, MASJID PUTRA |