WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA - IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Masjid Putra, Putrajaya

Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ianya thabit dari perbuatan Nabi SAW yang mana di dalam hadith ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun. Riwayat Muslim (1164)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadith di atas menyebut bahawa hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’e, Hanbali dan juga Daud (al-Zahiri) bahawa disunatkan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا)

Adakah Puasa 6 Perlu Dilakukan Secara Berturutan?

Setelah mengetahui akan pensyariatan puasa sunat enam Syawal beserta fadhilatnya, timbul juga persoalan mengenai adakah puasa yang enam itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan.

Mengenai persoalan di atas, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…”[2]

Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadith menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”[3]

Kesimpulan

Berdasarkan pendapat-pendapat yang terdapat di dalam isu ini, kami katakan bahawa isu ini ada fleksibilitinya yang tersendiri iaitu puasa 6 boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan. Diawalkan ataupun dilewatkan selagi mana masih berada di dalam bulan Syawal. Ianya tidak menjadi masalah.

Di dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, sudah pasti akan ada jemputan dari sanak saudara juga rakan taulan untuk menghadiri rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Maka ianya tidak menjadi masalah serta penghalang untuk menunaikan puasa 6 Syawal kerana terdapat fleksibiliti di dalam kaifiat menunaikannya. Alangkah baiknya jika kita dapat menghimpunkan dua kebaikan dalam bulan Syawal ini, satunya dengan berpuasa enam dan keduanya dengan menghubungkan silaturrahim sesama kita. Wallahu a’lam.

Sekian, wassalam.

Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
12 Julai 2016 bersamaan 12 Syawal 1437H

#puasa6 #puasaenam #puasa6syawal #puasaenamsyawal

>>LINK ASAL ARTIKEL DI SINI<<