AHAD
11 Rabiulawal 1446
15 September 2024
Masjid Putra, Putrajaya telah mengadakan Majlis Jalinan Ukhwah : 𝘔𝘰𝘴𝘲𝘶𝘦 𝘖𝘱𝘦𝘯 𝘋𝘢𝘺 2024 yang telah dirasmikan oleh YBrs. Dr Muhamad Zakuwa bin Rodzali, Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya hari ini. Program tersebut adalah bersempena dengan 𝘐𝘴𝘭𝘢𝘮𝘪𝘤 𝘛𝘰𝘶𝘳𝘪𝘴𝘮 𝘔𝘰𝘯𝘵𝘩 (ITM) 2024 yang berjalan dari 16 Ogos sehingga 30 September 2024 di seluruh negara. Ia merupakan acara inovatif oleh 𝘐𝘴𝘭𝘢𝘮𝘪𝘤 𝘛𝘰𝘶𝘳𝘪𝘴𝘮 𝘊𝘦𝘯𝘵𝘳𝘦 (ITC) dengan mempamerkan pelbagai pengalaman pelancongan Islam dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) yang ditawarkan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Hari Terbuka Masjid ini dianjurkan bersama dengan masjid-masjid terkemuka di seluruh negara termasuk di Masjid Putra, yang merupakan salah sebuah masjid di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM. Inilah antara usaha yang disebut sebagai pendekatan dakwah menerusi kegiatan penerangan dan interaksi di antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia amat penting terutama dalam usaha menangani Islamofobia dan memperbetulkan salah faham mengenai Islam.
Para pelancong dan masyarakat bukan Islam boleh melihat keindahan senibina masjid, selain secara dekat melihat bagaimana aktiviti di masjid dilaksanakan.
Masjid Putra sebagai antara masjid yang terpilih dalam program ini, turut menyediakan pelbagai aktiviti dan acara kepada para pelancong yang hadir, antaranya permainan tradisional, aktiviti kanak-kanak seperti mewarna, pemakaian hijab kepada pelancong yang berminat, penulisan khat, pameran artifak dan replika di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, lawatan serta penerangan mengenai keindahan senibina masjid.
Semoga usaha ini dapat menyebarluaskan lagi kefahaman masyarakat berkaitan kepelbagaian fungsi masjid, khasnya di Masjid Putra, yang menjadi salah satu mercu kebanggaan negara di Putrajaya ini.